SelangorToday

PENGALAMAN DANIAL PIMPIN AGENSI NEGERI JADI AZIMAT BERDEPAN RINA

Calon Pakatan Harapan (PH) Danial Al-Rashid Haron tidak gentar bertanding dengan Datuk Seri Rina Harun yang dikatakan pesaing ‘Heavyweight’ bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Malah, Danial,37, yang merupakan Ketua Pemuda PH Selangor juga tidak merasakan dirinya ‘underdog’ kerana yakin kemampuannya sama seperti ketika Rina bergelar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat.

“Saya tidak rasa saya ‘underdog’ berlawan dengan Rina Harun. Mungkin orang boleh sebut beliau sebelum ini adalah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat. Saya pun boleh sebut saya juga pegawai khas Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Pemberdayaan Keluarga.

“Kalau hendak dibandingkan inisiatif kerajaan negeri dan persekutuan, ketika Rina menjadi menteri, saya rasa banyak dan jauh lebih baik pretasi kerajaan negeri. Kita punya perbelanjaan mungkin lebih rendah tetapi capaian kepada masyarakat lebih banyak dengan pelbagai program telah dibuat dan saya sendiri menjaga program Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Kita jauh lebih baik prestasi berbanding Rina. Kalau hendak lawan dari sudut prestasi kerja dan pencapaian, kita boleh lihat Selangor lebih baik,” katanya.

DUN Batu Tiga menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Danial, Rina dan Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Menurut Danial yang juga Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor itu, gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) pada PRN kali ini sebagai satu kelebihan dengan sokongan daripada rakan-rakan BN yang sangat luar biaa menjadikan kesepakatan politik lebih kuat berbanding Pilihan Raya Umum pada Disember lalu.

Jelas Danial, kelebihan sebagai calon juga diperolehi menerusi pencapaian telah dilakukan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Rodziah Ismail selama tiga penggal sebelum ini yang telah membuka jalan dalam memperkukuhkan sokongan para pengundi.

“Strategi politik kita, tidak banyak ceramah sebaliknya turun menemui dalam program bersama masyarakat. Fokus saya adalah meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan nilai masyarakat Batu Tiga agar tidak rasa terpinggir berbanding DUN Kota Anggerik yang lebih ‘urban’ sebab berada di pusat bandar,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Danial yang merupakan anak pelakon dan pelawak popular, Allahyarham Harun Salim Bachik menzahirkan penghargaan kepada arwah bapanya itu yang tidak pernah menghalangnya menyertai dunia politik.

“Tentang terjun dalam politik mungkin disebabkan minat. Saya tiada bakat berlakon namun saya secara semulajadi boleh main alat muzik seperti gitar dan dram dengan mempunyai sebuah band sebelum ini.

“Arwah merupakan seorang ‘supportive’ (menyokong) dengan perbincangan mengenai politik dilakukan secara tidak langsung dengannya. Cuma Arwah tidak sempat melihat saya memegang jawatan penting iaitu Timbalan Ketua Pemuda Amanah Selangor sewaktu penubuhan parti itu pada tahun 2015 lalu,” jelasnya.

Exit mobile version