Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) kerusi Batu Tiga menawarkan pengalamannya untuk membantu rakyat sebagai sandaran utama bertanding dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos.
Danial Al-Rashid, 37, percaya pengalaman termasuk menjadi pegawai khas EXCO kesihatan awam, perpaduan, wanita dan pemberdayaan keluarga memudahkannya berurusan dengan pelbagai pihak.
“Harap pengalaman menyantuni setiap orang, sebagai (bekas) ahli majlis (Majlis Bandaraya Shah Alam) membantu rakyat, akan membawa saya ke tahap seterusnya,” kata beliau pad 30 Julai.
Graduan bidang Matematik Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis itu pernah memegang jawatan lain antaranya:
– Ketua Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS)
– Ketua Jabatan Yayasan Warisan Anak Selangor
– Ahli Jawatankuasa Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor
Bapa empat anak yang juga ketua pemuda HARAPAN Selangor itu sebenarnya anak seniman terkenal Allahyarham Harun Salim Bachik dan mahir bermain gitar.
Lakonan Allahyarham antaranya drama bersiri Rumah Kedai yang ditayang pada 1988 hingga 1993. Presiden Persatuan Seniman Malaysia juga berlakon dalam filem Man Laksa, Baik Punya Cilok dan KIL.
Danial berdepan saingan tiga penjuru melibatkan bekas menteri Datuk Seri Rina Harun dari Perikatan Nasional dan Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen dari MUDA.