Site icon SelangorToday

PENGERUSI PH SELANGOR UMUM DANA RM50,000 NAIK TARAF SURAU SBPI GOMBAK

Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM50,000 bagi menaik taraf surau Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak yang sudah uzur.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerja penambahbaikan itu penting demi menjamin keselesaan kepada kira-kira 800 pelajar termasuk komuniti sekitar sekolah terbabit.

“Kita beri RM50,000 sebab kebetulan surau itu juga digunakan untuk solat Jumaat bukan sahaja pelajar tetapi komuniti luar.

“Jadi saya harap ia dapat membantu mereka mengurangkan tekanan dalam penyenggaraan terutama menambahbaik kemudahan yang daif,” katanya di kediaman rasminya di sini hari ini.

Ditemui selepas majlis apresiasi guru sekolah berkenaan, Amirudin yang juga ahli Parlimen Gombak memberitahu pihak sekolah terbabit turut memohon dana bagi menaik taraf padang.

Menganggarkan kos menukar padang sintetik mencecah RM1 juta, beliau bagaimanapun memaklumkan akan meneliti perkara tersebut terlebih dahulu.

“Insya-Allah, saya sedia meneliti (permohonan) naik taraf padang dan kemudahan sukan di sekolah itu memandangkan kosnya agak tinggi.

“Tinggal lagi dua hari bubar (Dewan Undangan Negeri), jadi ia agak berat (proses kelulusan),” katanya.

Exit mobile version