Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan(NAFAS), Faris Ariffin menolak sebarang dakwaan yang dibuat oleh Ahli Jemaah Pengarah NAFAS terkait dengan salah guna kewangan oleh beliau.
Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan pagi ini, Faris mengambil maklum tentang kenyataan yang dikeluarkan oleh AJP NAFAS namun kenyataan tersebut dikeluarkan sebelum proses semakan dalaman dimulakan.
Katanya kenyataan yang dikeluarkan sebelum proses semakan dalaman dijalankan sewajarnya memberi kesan kepada proses reformasi yang sedang berjalan. Sebaliknya semenjak beliau diberikan tanggungjawab sebagai Pengurus Besar NAFAS, tumpuan beliau adalah selaras dengan agenda reformasi kerajaan yang menekankan ketelusan, kecekapan dan akauntabiliti.
Bagi beliau, keutamaannya adalah untuk terus menegakkan prinsip tadbir urus yang baik dan yakin NAFAS akan terus beroperasi dengan integriti demi kepentingan semua pihak.
Semalam, AJP NAFAS mengeluarkan satu kenyataan memaklumkan tindakan NAFAS untuk menggantung tugas pengurus besarnya atas dakwaan kesalahan tatakelola yang melibatkan salah guna kewangan pertubuhan itu. Tindakan dibuat oleh AJP yangr diketuai oleh Hj Zamri bin Yaakob itu susulan beberapa penemuan pelanggaran tatakelola terkait dengan kewangan NAFAS.
Mesyuarat AJP yang bersidang 22 Oktober 2024 turut memutuskan untuk membentuk satu pasukan khas bagi menyiasat secara terperinci pelanggaran tatakelola serta meneliti setiap penemuan dan laporan terkait perkara tersebut.
Sementara itu, salah seorang Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Zamir Ghazali menafikan keputusan penggantungan Faris dibuat secara sebulat suara kerana ia dibuat secara undian. Katanya lagi, proses undian dibuat selepas sebahagian tidak bersetuju dengan tindakan tersebut dan membantah keras kerana asas tindakan berlandaskan andaian.
Beliau juga menafikan alasan penggantungan atas sebab yang salah guna kuasa memandangkan Faris membuat keputusan berlandaskan SOP dan tatakelola yang dibenarkan dalam ruangan kuasanya. Beliau memberi maklum balas atas kenyataan NAFAS yang dikatakan dikeluarkan oleh beberapa orang AJP NAFAS – SelangorToday