PUTRAJAYA – Kerajaan Madani menegaskan tidak akan sesekali membenarkan mana-mana pihak menghina al-Quran di negara ini dalam apa jua bentuk, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Merujuk insiden memijak al-Quran baru-baru ini, beliau menegaskan siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dijalankan dan masyarakat diingatkan supaya bersabar serta tidak tergesa-gesa menunggu keputusan.
“Ini negara hukum. Kita tidak boleh mengetepikan prinsip undang-undang dalam sebarang tindakan.
“Islam ialah agama Persekutuan dan kita tidak boleh memandang ringan sebarang bentuk penghinaan, bukan sahaja terhadap Islam tetapi juga terhadap agama lain di negara ini, demi mengekalkan keharmonian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Pemimpin Masyarakat Tempatan bersama Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana di sini pada Ahad.
Turut hadir, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan; dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Sementara itu, Anwar menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap insiden penghinaan agama Islam, termasuk perbuatan memijak al-Quran.
“Apabila ada laporan mengenai penghinaan atau perbuatan memijak al-Quran, siapa kata tiada tindakan? Ada tindakan. Jangan bersikap tergopoh-gapah dan tidak sabar.
“Polis sudah mengambil tindakan dengan menahan individu terbabit dan menjalankan siasatan. Sama ada dia siuman atau tidak, itulah yang sedang disiasat,” katanya.
Beliau berkata, segala tindakan perlu berlandaskan undang-undang sedia ada dan kerajaan sentiasa tegas terhadap isu berkaitan penghinaan agama.
“Ada reaksi tidak sabar, kononnya nampak tolak ansur. Saya tidak tolak ansur sama sekali dan kita harus tegas,” katanya.

