Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional, Datuk Dr. Hasan Bahrom menyeru agar semua pihak dalam masyarakat untuk mengangkat dan menjiwai Bahasa Melayu ke persada yang lebih tinggi. Ketika mengulas pengumuman Perdana Menteri berkaitan pengukuhan Bahasa Melayu, beliau berkata pengumuman tersebut bukanlah perkara baru, kerana penggunaan Bahasa Melayu telah lama dituntut untuk di laksanakan secara menyeluruh, cuma apa yang belum dilaksanakan adalah dari aspek penguatkuasaan penggunaannya.
Ahli Parlimen Tampin itu menambah, buat masa ini beliau tidak melihat bahawa Bahasa Melayu diperendah-rendahkan, namun Bahasa Melayu belum digunapakai secara menyeluruh terutamanya ketika mesyuarat-mesyuarat khususnya di jabatan kerajaan (walaupun tidak semua jabatan) dipertingkat persekutuan atau di IPT. Ahli Lembaga Pengarah UNISEL itu turut menyatakan penggunaan Bahasa Melayu dicampur aduk atau diselang-seli menjadi bahasa rojak. Demikian juga ketika dalam majlis seperti dialog, seminar dan diskusi meja bulat, penggunaan Bahasa Melayu tidak pantas dilakukan sepenuhnya.
Sebelum ini Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaacob mengumumkan beberapa tindakan kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan Bahasa Melayu dipersada antarabangsa. Antaranya ialah menggunakan Bahasa Melayu dalam utusan surat ke luar negara disamping terjemahan. Meski mendapat kecaman daripada netizen apabila dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat, justeru rakyat semakin tertekan, tindakan pengukuhan Bahasa Melayu bukanlah satu keutamaan, tetapi agenda tersebut mesti mendapat sokongan seluruh warga Malaysia.