SelangorToday

PENGUMUMAN! MALAYSIA AKAN HADIRI SIDANG KEMUNCAK BRICS PADA 22 HINGGA 24 OKTOBER – PM

Malaysia menerima jemputan Russia untuk menyertai Sidang Kemuncak BRICS di Kazan, Russia pada 22 hingga 24 Oktober ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, jemputan yang disampaikan oleh Presiden Vladimir Putin sendiri semasa sesi makan malam kerja adalah bukti jelas mengenai kepentingan Malaysia kepada Russia.”Ini menandakan satu langkah penting ke arah matlamat akhir kita untuk menyertai kumpulan itu,” kata beliau menerusi catatan di media sosial pada Rabu mengenai lawatan dua hari ke Russia untuk menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF) kesembilan.

BRICS adalah sebuah organisasi antara kerajaan yang terdiri daripada Brazil, Russia, India, China, Afrika Selatan, Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu.

Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucapan pada sesi pleno EEF pada Khamis.Anwar berkata, semasa perbincangan itu, beliau dan Putin menyatakan komitmen masing-masing untuk memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Russia.

“Ketika Malaysia terus memperluas ruang geo-ekonomi dan mempelbagaikan hubungan strategik, Russia akan menjadi rakan utama yang berkongsi visi kita untuk pertumbuhan, kemakmuran dan pembangunan,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, daripada kewangan Islam sehingga pertanian dan pendidikan, potensi untuk Malaysia dan Russia saling memanfaatkan kepakaran demi manfaat bersama rakyat adalah amat besar.”Apabila kita membina komitmen dan visi bersama yang dibincangkan semasa lawatan ini, saya optimistik bahawa asas yang diletakkan hari ini akan membawa kepada kerjasama yang bermakna antara Russia dan Malaysia pada masa akan datang,” katanya.

Perdana Menteri berada di Russia untuk lawatan kerja dua hari di Vladivostok, sebuah bandar raya pelabuhan utama di wilayah Timur Jauh Russia.

Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup serta pegawai kanan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan akan menghadiri Forum Ekonomi Timur Kesembilan (EEF) berlangsung pada 3 hingga 6 September. Beliau akan menyampaikan ucapan pada sidang pleno hari ini.

Pada 28 Julai lepas, Anwar berkata Malaysia telah menghantar permohonan kepada Russia untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS susulan kunjungan hormat yang dilakukan oleh Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov.

Pada 18 Jun tahun ini, Anwar mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva.

Sementara itu, pertemuan Anwar dengan Putin akan memberi peluang kedua-dua pemimpin untuk membincangkan hubungan dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pertanian dan keterjaminan makanan serta pelancongan selain meneroka kerjasama dalam bidang baharu seperti aeroangkasa dan teknologi termaju. – Berita Harian

Exit mobile version