SelangorToday

Pengumuman PM: Tidak Bebankan Rakyat, Tidak Boros Berbelanja – Hj Azli

SHAH ALAM, 27 Mac — Pendekatan sederhana antara tidak membazir dan tidak kedekut yang digariskan dalam ajaran Islam menjadi asas penting kepada langkah Kerajaan MADANI dalam mendepani krisis tenaga global ketika ini.

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, prinsip keseimbangan atau wasatiyyah itu bukan sahaja relevan dalam kehidupan individu, malah menjadi panduan dalam penggubalan dasar negara, khususnya dalam pengurusan subsidi dan penggunaan sumber tenaga.

Menurut beliau, firman Allah dalam Surah Al-Furqan ayat 67 menegaskan bahawa umat Islam dituntut untuk tidak berlebih-lebihan dalam perbelanjaan, namun pada masa sama tidak bersikap kedekut sehingga menafikan keperluan.

“Dalam konteks hari ini, dunia berdepan krisis tenaga global susulan ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang memberi kesan kepada ekonomi dunia, termasuk Malaysia.

“Oleh itu, langkah kerajaan mengekalkan subsidi petrol adalah satu pendekatan bijaksana yang tidak membebankan rakyat secara mendadak, tetapi dalam masa sama tidak membiarkan sumber digunakan tanpa kawalan,” katanya.

Beliau menjelaskan, pendekatan tersebut mencerminkan keseimbangan antara membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup dan memastikan pengurusan kewangan negara kekal mampan.

Pada masa sama, Azli yang juga Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional menegaskan bahawa rakyat juga perlu memainkan peranan dengan mengamalkan penggunaan berhemah dan mengelakkan pembaziran, meskipun subsidi masih diberikan.

“Subsidi bukan lesen untuk kita boros. Kita perlu merancang perjalanan, berkongsi kenderaan dan menggunakan bahan api secara lebih efisien,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan agar semua pihak tidak mengambil kesempatan dalam situasi mencabar ini, sebaliknya bersama-sama menyokong usaha kerajaan demi kepentingan bersama.

“Sikap mengambil peluang ketika orang lain susah bukanlah sifat orang beriman. Sebaliknya, kita dituntut untuk saling membantu dan memahami keadaan semasa,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu berkata penjimatan bukan tanda kelemahan, sebaliknya mencerminkan kebijaksanaan dalam mengurus nikmat yang dikurniakan.

“Tidak membazir walaupun mampu, tidak kedekut walaupun berjimat, maka inilah keseimbangan yang perlu kita hayati dalam kehidupan dan juga dalam dasar negara,” katanya.

Beliau berharap usaha kecil rakyat dalam berjimat cermat serta sokongan terhadap inisiatif kerajaan akan menyumbang kepada kesejahteraan bersama dan menjadi amalan yang diberkati.

Exit mobile version