Selain penjawat awam ‘lembab’ dan tidak hadir kerja, mereka yang tidak bermoral termasuk perosak rumah tangga juga wajar tidak menerima kenaikan gaji bermula Disember ini, kata seorang Ahli Parlimen.
Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman yang mencadangkan perkara itu berkata ia bagi memastikan sektor awam hanya diisi penjawat berintegriti dan tidak memberi kesan kepada prestasi baik kerajaan.
Katanya, sektor awam perlu melihat swasta yang mengamalkan sistem penilaian prestasi – petunjuk prestasi utama (KPI) sebagai contoh untuk menentukan seseorang pekerja berfungsi dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti dikehendaki majikan.
“Kakitangan awam yang mempunyai masalah moral dan integriti seperti punca kepada keruntuhan rumah tangga seseorang juga tidak patut diberikan kenaikan gaji atau pangkat,” katanya mengulas pengumuman Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bahawa penjawat awam dengan prestasi tidak baik tidak layak dinaikkan gaji.
“KPI sangat efektif untuk menilai pencapaian kakitangan yang rajin bekerja atau sebaliknya. Yang layak saja patut menerima kenaikan gaji,” katanya kepada FMT sambil meminta Putrajaya memantau penjawat awam di Labuan supaya bersih dari masalah seumpama itu.
Dalam perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri semalam, Anwar yang juga menteri kewangan mengulangi amarannya dengan meminta penjawat awam setiap jabatan memantau dan mengenal pasti kakitangan yang merosakkan nama baik perkhidmatan awam. – FMT