SelangorToday

PENJENAMAAN SERVE RESCUE, DIANGGOTAI 100 SUKARELAWAN TERBAIK

Sukarelawan Selangor (SERVE) Elit kini dikenali sebagai SERVE Rescue seiring fungsi pasukan itu untuk menyelamat dan membantu mangsa bencana. Exco Pembangunan Generasi Muda Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata penjenamaan semula pasukan itu dipersetujui hasil perbincangan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

“Kita bermesyuarat bersama bomba dan mereka berpandangan bahawa perkataan ‘rescue’ lebih sesuai dan rakyat berasa selamat,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Selangor Martial Arts XTIV di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Tambah Mohd Khairuddin, sasaran sukarelawan terlibat dalam SERVE Rescue seramai 100 individu menjelang November nanti.

“Senarai 100 individu sudah ada dan dalam peringkat tapisan oleh Majlis Sukan Negeri Selangor untuk memilih individu benar-benar layak dan terbaik. Selepas ditapis, nama sukarelawan akan diberikan kepada bomba untuk menjalani sesi latihan,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Khairuddin memaklumkan sebanyak RM100,000 diperuntuk bagi menubuhkan pasukan SERVE Rescue.

Exit mobile version