SelangorToday

PENTING KOLABORASI FASILITI ANTARA AWAM-SWASTA BABITKAN KHIDMAT PAKAR – DR.DZULKEFLY

Kementerian Kesihatan (KKM) terus berusaha untuk mewujud serta memperkukuh kolaborasi antara fasiliti kesihatan awam dan swasta bagi mendapatkan khidmat pakar diperlukan khususnya dalam bidang pembedahan kardiotorasik.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kolaborasi seumpama itu penting berikutan khidmat mereka yang begitu diperlukan masa kini, ketika mana kekangan jumlah pakar yang ada dalam fasiliti kesihatan kerajaan.

“Saya secara peribadi yang mengalas tugas menteri memandang perkara ini sangat penting. Namun yang saya mahukan supaya yang kita kendong (yang masih ada dalam perkhidmatan) ini mesti jangan sampai tercicir. Mereka yang dikejar di luar negara itu, mahu kita dapatkan juga.

“Tetapi yang mustahaknya adalah untuk KKM menampilkan satu pakej yang bukan saja dari sudut kewangan, tapi dari segi masa depan profesion mereka.

“Sementara kita boleh bagi elaun, imbuhan, lokum dan ‘on call’ atau ‘active call’, tapi akhirnya yang kita mahukan bukan mereka dapat terus berkhidmat, tetapi kita mahukan nilai murni untuk mereka kekal walaupun berdepan kekangan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Menjawab soalan asal Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor), Dr Dzulkefly memaklumkan seramai 23 pegawai perubatan KKM sedang mengikuti pengajian kepakaran dalam bidang pembedahan kardiotorasik iaitu tujuh di bawah program sarjana perubatan dan 16 melalui ‘parallel pathway’.

Bagi bidang perubatan keluarga pula, katanya seramai 1,938 orang pegawai perubatan sedang mengikuti pengajian kepakaran iaitu 390 orang pegawai dalam program sarjana perubatan dan 1,548 orang pegawai dalam ‘parallel pathway’.

“Bagi 2020 hingga 2024, anggaran perbelanjaan biasiswa bagi pegawai perubatan KKM yang mengikuti pengajian kepakaran dalam bidang pembedahan kardiotorasik berjumlah RM2.6 juta, manakala bidang perubatan keluarga pula berjumlah RM68.1 juta.

“Berhubung penyediaan prasarana latihan, tiada kos dibelanjakan dengan prasarana latihan bagi kedua-dua bidang berkenaan kerana pengajian adalah menggunakan fasiliti KKM dan universiti awam,” katanya.

Beliau berkata, kardiotorasik yang sudah beralih ke sektor swasta atau yang berada di luar negara ketika ini masih meneruskan tanggungjawabnya untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada orang ramai.

“Namun, kita cuba tarik mereka dengan pelbagai cara. Kita tambah ‘pull factor’ (faktor penarik) dan kurangkan ‘push factor’ (faktor penolak). Mereka yang meninggalkan kita (KKM) pun bukan meninggalkan perkhidmatan awam untuk rakyat, dia masih memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Cumanya penting untuk wujudkan kerjasama kolaborasi awam-swasta… walaupun mereka pergi ke swasta, khidmat mereka masih kita boleh manfaatkan,” katanya. – Berita Harian

Exit mobile version