SelangorToday

PENUBUHAN YAYASAN INSAN ISTIMEWA SELANGOR WAJAR JADI PAYUNG PUSAT INTERVENSI – ADN BATU TIGA

Ahli Dewan Negeri(ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Harun mencadangkan kepada Kerajaan Selangor untuk menjadikan penubuhan Yayasan Insan Istimewa Selangor(YANIS) yang sebelum ini merupakan sebuah jabatan dibawah kerajaan negeri menjadi payung kepada pusat-pusat intervensi anak-anak istimewa di seluruh Selangor. Danial berkata, peranan yang boleh dimainkan oleh YANIS bagi memastikan setiap pusat intervensi yang ada di Selangor diselaraskan agar kesan kewujudan pusat ini mampu memberi manfaat kepada golongan Orang Kelainan Upaya(OKU). Malah beliau menambah, kebajikan pusat intervensi dapat dimaksimakan apabila ia dipantau oleh YANIS.

Ketua Pemuda AMANAH Selangor itu menjelaskan di Selangor terdapatnya hampir 300 buah pusat intervensi anak istimewa, namun mereka semua bergerak secara sendirian menjalankan kegiatan mereka. Maka YANIS wajar dipertimbangkan sebagai payung kepada pusat ini yang membolehkan pelbagai maklumat dan kemudahan disalurkan kepada mereka. Danial juga mencadangkan kerajaan negeri melaksanakan saringan perkembangan kanak-kanak di sekolah formal merangkumi tadika hingga tahap 1 sekolah rendah. Ini kerana, bagi Ketua Pemuda HARAPAN Selangor itu, jika kerajaan negeri gagal mengenalpasti lebih awal individu yang mengalami masalah perkembangan, ia akan menambahkan kos kebajikan kerajaan negeri apabila mereka yang mengalami masalah ini mencapai usia belia dan dewasa.

Danial berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2024 di Dewan Negeri Selangor pada rabu. Beliau juga turut mencadangkan agar kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) Negeri melaksanakan pendaftaran kad OKU secara dalam talian. Cabaran yang mungkin ada apabila pengesahan seseorang itu sebagai OKU memerlukan saringan dan penilaian. Oleh itu, Danial mencadangkan setelah ibubapa melengkapkan maklumat anak mereka, pihak JKM mahupun kerajaan negeri akan hadir untuk melaksanakan saringan kepada anak tersebut. Ini boleh meringankan beban ibubapa serta anak tersebut yang pastinya mempunyai kesulitan mobiliti. – SelangorToday

Exit mobile version