Dasar Ekonomi Malaysia yang dilaksanakan pada masa ini iaitu Ekonomi Madani merupakan dasar ekonomi yang berteraskan nilai manusiawi sejagat dan mengangkat elemen keagamaan. Ia jelas berbeza dengan dasar ekonomi lalu yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini iaitu Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama. Ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Larut yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Hamzah Zainuddin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama merupakan saranan Bank Dunia sejak 2013. Namun melihat akan keadaan ekonomi semasa dan memikirkan soal kemampanan ekonomi yang harus dicapai oleh Malaysia maka Ekonomi Madani diperkenalkan.
Malah Pengerusi HARAPAN itu menambah, dalam Ekonomi Madani yang menekankan soal kemampanan dan fiskal negara, ia turut juga merangkumi nilai keagamaan dan pemikiran sejagat serta perpaduan rakyat yang tidak di tekankan dalam dasar sebelum ini. Anwar menjawab soalan tersebut dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi ini. Selain itu, ia bukan sahaja menumpukan kepada kejayaan ekonomi malah menekankan sasaran sosial, keterangkuman yang tidak meminggirkan mana-mana pihak serta memperkasakan tatakelola yang baik dalam pengurusan.
Anwar juga memaklumkan bahawa ekonomi madani yang menjadi tunjang pembangunan Malaysia MADANI turut melihat keadaan ekonomi semasa semasa sebagai panduan pelaksanaan strategi ekonomi negara termasuk Rancangan Malaysia Ke-12, Pelan Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Induk Perindustrian. Ia lebih jelas sebagai panduan kepada jentera kerajaan dan sektor swasta. – SelangorToday