Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad bin Sabu memberi peringatan kepada semua pihak termasuk orang awam untuk tidak menyimpan stok beras dalam kuantiti yang besar. Kata beliau, peringatan itu dinyatakan bagi mengelakkan berlakunya pembaziran bekalan makanan ruji tersebut jika berlaku kerosakan dan pencemaran. Namun Mohamad berkata jika stok beras yang disimpan bagi tujuan sumbangan dan seumpamanya, ia perlu diagihkan segera.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor disini semalam. Sebelum ini, tular satu rakaman memaparkan puluhan kampit beras, tepung dan sardin dibuang di tapak pelupusan sampah berdekatan laluan pintasan Rumpun Makmur, Kampung Gunung Senyum, Temerloh, Pahang. Video itu menjadi perhatian apabila ia dimuat naik oleh beberapa pengguna media sosial di Facebook dan TikTok yang kebetulan menggunakan jalan berkenaan. Mohamad yang juga Presiden Parti AMANAH Negara melalui hantaran di Facebook rasminya pada 19 April lepas berkata Kawalselia Padi dan Beras telah diarahkan untuk menyiasat kejadian itu.
Dalam masa yang sama, Mohamad turut menasihati orang ramai supaya berpada-pada dan mengelakkan pembaziran makanan ketika musim perayaan Aidilfitri. Nasihat itu susulan dapatan daripada konsesi pembersihan Alam Flora mendapati 40 peratus daripada sisa buangan adalah makanan. Tegas beliau sisa buangan makanan ketika bulan Ramadan pula mencapai 12,000 tan sehari, maka amalan pembaziran perlu dielakkan supaya bekalan makanan tidak berkurangan. – SelangorToday