SelangorToday

PERKASA EKOSISTEM PERTANIAN DALAM BELANJAWAN 2024 SELARI DENGAN DASAR PERTANIAN SELANGOR

Peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Perpaduan dalam memperkasakan sektor keterjaminan makanan di Malaysia merupakan usaha yang selari dengan Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor(PeTA) yang dilancarkan tahun lalu. Jelas Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor, Ir. Izham Hashim ketika mengulas Belanjawan Madani 2024 itu, program keterjaminan makanan dengan memilih negeri Selangor sebagai projek rintis adalah tepat dan selari dengan PeTA.

Pengerusi AMANAH Selangor itu berkata, dengan pengumuman itu, Kerajaan Selangor sedia bekerjasama dengan kementerian bagi penyelarasan program sekali gus menjamin keperluan bekalan makanan rakyat. Izham menambah, bahawa menerusi rancangan yang terkandung dalam Belanjawan 2024, sektor pertanian dapat dimartabatkan selain mengeluarkan hasil tani berkualiti serta meningkatkan taraf hidup petani. Tumpuan Kerajaan Perpaduan juga bukan hanya kepada hasil pertanian malah meliputi pemerkasaan ekosistem pertanian termasuk pembenihan atau pembakaran, penggunaan baja organik yang dapat melestarikan tanah serta mengelakkan berlakunya pencemaran air.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentang Belanjawan 2024 memaklumkan peruntukan RM400 juta disedia untuk program jaminan makanan bagi mengurangkan kebergantungan import. Daripada jumlah itu RM50 juta diguna pakai untuk perolehan baja secara terbuka dan projek rintis dijalankan di Selangor, Perak, Terengganu dan Pulau Pinang selain RM150 juta untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengoptimumkan penggunaan tanah. –SelangorToday

Exit mobile version