
Penjawat awam di Selangor diingatkan tidak terlalu selesa dan berkhayal dengan kejayaan yang diraih negeri ketika ini, tegas Dato’ Menteri Besar.
Sebaliknya, Dato’ Seri Amirudin Shari menyeru semua pihak untuk terus memperkukuh lagi gerak kerja bagi memperoleh hasil yang lebih tinggi berbanding tahun lalu.

“Kalau kita khayal dengan kejayaan masa lalu, kita tidak mampu berdepan cabaran masa hadapan. Banyak kejayaan hancur kerana ketidakmampuan beradaptasi dan sikap sombong serta alpa,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu 2025 kepada penjawat awam di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
Dalam majlis sama, Amirudin turut menyampaikan insentif kepada jabatan dan pejabat pemungut hasil yang mencatatkan prestasi cemerlang bagi kutipan 2024.
Selangor mencatat hasil akhir pendapatan 2024 berjumlah RM2.858 bilion, tertinggi dalam sejarah negeri ini. Jumlah itu juga mengatasi pencapaian terbaik sebanyak RM2.811 bilion pada 2017.
Negeri itu memperoleh kutipan hasil RM2.7 bilion pada 2023, RM2.5 bilion (2022) dan RM2.3 bilion pada 2021, didorong perkembangan positif ekonomi dan kemasukan pelaburan yang agresif. -SelangorKini