SelangorToday

PERMOHONAN BANTUAN BAYARAN PENDAHULUAN BELI MOTOSIKAL SELANGOR DIBUKA

Permohonan bagi program BikeCare-1000 iaitu bantuan bayaran pendahuluan pembelian motosikal untuk pekerja bagi fasa kedua dibuka sehingga 30 Jun ini.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V Papparaidu berkata borang permohonan program khusus untuk warga Selangor itu boleh diperolehi di pejabat Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) di tingkat lima bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Pemohon perlu mematuhi syarat yang ditetapkan iaitu berusia 18 tahun ke atas, memiliki lesen motosikal yang sah dan tidak disenarai hitam Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS).

“Setiap permohonan perlu disertakan dengan salinan kad pengenalan pemohon, salinan kad pengenalan penjamin (keluarga), salinan penyata bank, salinan lesen motosikal dan salinan slip gaji dua bulan terkini,” katanya

Tambah wakil rakyat Banting itu borang permohonan yang sudah lengkap perlu diserahkan ke pejabat UPPS di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri sebelum 30 Jun ini.

“Program ini merupakan inisiatif Kerajaan Selangor untuk meringankan beban pekerja daripada pelbagai sektor ekonomi untuk memperoleh pengangkutan peribadi yang diperlukan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut hubungi talian 03-5544 7307 atau 03-5544 7305.

Pada 2022 Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memperkenalkan program BikeCare-1000 bagi meringankan beban pekerja ekonomi sampingan khususnya ketika pandemik Covid-19. – Selangorkini

Exit mobile version