Exco Pembangun Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari memaklumkan jumlah permohonan menjadi ahli skim mesra OKU atau nama baharunya Skim Mesra Insan Istimewa(SMIS) bagi tahun 2023 meningkatkan tiga kali ganda berbanding tahun 2022. Kata Anfaal, berdasarkan data yang dicatat sehingga Oktober 2023, jumlah permohonan sebagai ahli adalah sebanyak 110,566 berbanding tahun sebelumnya iaitu 29,777 sahaja. Beliau memaklumkan peningkatan permohonan tersebut ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri(ADN) Pandamaran, Leong Tuck Hee di Sidang Dewan pada Selasa.
Jelas Anfaal yang juga ADN Taman Templer, peningkatan yang mendadak itu disebabkan oleh 3 faktor utama iaitu, penjenamaan semula Skim Mesra bagi Golongan Orang Kurang Upaya(OKU) dengan nama baharu iaitu Skim Mesra Insan Istimewa(SMIS). Kedua, penebusan baucer tidak lagi dibuat pada bulan kelahiran sahaja tetapi sepanjang tahun. Ketiga, jumlah baucer ditingkatkan kepada RM150 berbanding sebelum ini RM100. Kata beliau, peningkatan yang mendadak ini menyebabkan proses pendaftaran sebagai ahli mengalami kelewetan.
Namun Naib Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara(AWAN) Nasional itu menambah, sebuah task force telah ditubuhkan pada julai 2023 untuk mempercepatkan proses kemasukan data bagi permohonan yang telah diterima. Hasilnya, sebanyak 39,822 borang telah berjaya didaftarkan dalam tempoh seminggu. Malah Anfaal memberikan komitmen proses pendaftaran dijangka akan selesai akhir bulan Disember 2023 dan proses pendaftaran akan didigitalisasikan pada masa akan datang. – SelangorToday