Pemuda AMANAH Negeri Selangor mengumumkan penangguhan Konvensyen Tahunannya bagi memberi laluan kepada Pemuda AMANAH Selangor menumpukan penyusunan jentera parti menghadapi banjir. Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan, Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Danial Al-Rashid Harun memaklumkan konvensyen yang dijadualkan pada 19 Oktober ini akan ditangguhkan untuk memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi fenomena air pasang besar dan hujan lebat yang dijangka berlaku dari 17 Oktober 2024 hingga 20 Oktober 2024.
Kata Ahli Dewan Negeri Batu Tiga itu, walaupun persiapan untuk konvensyen telah dilakukan, namun pihak Pemuda AMANAH Selangor percaya bahawa keutamaan kini harus diberikan kepada usaha membantu penduduk terjejas akibat keadaan cuaca yang tidak menentu. Danial menegaskan, sebagai organisasi yang bertanggungjawab, Pemuda AMANAH Selangor meletakkan kepentingan masyarakat dihadapan khususnya ketika musim bencana.
Keadaan yang berlaku semalam iaitu 15 Oktober 2024 menyaksikan keadaan cuaca yang tidak diduga. Oleh itu, adalah penting bagi Danial dan Pemuda AMANAH Selangor, bersedia dan bertindak proaktif dalam keadaan sebegini. Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional berkata, Pemuda AMANAH Selangor sedang memantau situasi dengan rapat dan bersedia untuk menggerakkan jentera bagi menyantuni rakyat yang ditimpa bencana. – SelangorToday