SHAH ALAM — Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof menyifatkan keputusan AirAsia untuk membenarkan krew kabin memakai hijab bermula tahun depan sebagai satu perkembangan positif yang bakal meningkatkan persaingan dalam sektor penerbangan negara.
Menurut beliau, pengumuman itu bukan sahaja dialu-alukan, malah sudah lama ditunggu oleh rakyat Malaysia khususnya masyarakat Islam. Beliau berkata keputusan itu “tepat pada masanya” dan menerima pujian ramai kerana mencerminkan penghormatan kepada kepelbagaian, identiti dan pilihan peribadi, selari dengan realiti Malaysia sebagai negara majmuk, progresif dan inklusif.
Azli menjelaskan bahawa perubahan tersebut berpotensi meningkatkan rating dan persepsi umum terhadap AirAsia, selepas beberapa tahun syarikat itu berdepan kritikan melibatkan isu kelewatan jadual, beban tempahan dan pengalaman pelanggan. Beliau menyifatkan kebenaran berhijab sebagai “isyarat kecil tetapi sangat bermakna” bahawa AirAsia bersedia berubah, lebih sensitif dan lebih memahami kehendak pelanggan.
Namun beliau turut mengingatkan bahawa persoalan asas tetap perlu dijawab — sama ada perubahan ini hanya bersifat kosmetik atau disertai penambahbaikan terhadap masalah perkhidmatan teras seperti ketepatan waktu, ketelusan maklumat, pemulangan bayaran dan kelancaran pengalaman perjalanan.

Dalam masa sama, Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu berpendapat langkah ini turut memberi tekanan persaingan kepada Malaysia Airlines (MAS), meskipun kedua-dua syarikat berada dalam segmen perkhidmatan berbeza. Katanya, pengguna tetap akan membandingkan tahap keterbukaan dan kemampuan adaptasi setiap syarikat. Beliau juga mengemukakan persoalan sama ada MAS akan mengikut langkah yang sama dan membenarkan pemakaian hijab merentas semua sektor perkhidmatannya.
Walaupun jawapannya belum jelas, YB Azli menegaskan bahawa masyarakat kini lebih peka terhadap nilai inklusiviti serta hak pekerja untuk tampil mengikut keyakinan dan kepercayaan masing-masing.
Beliau menutup kenyataannya dengan menegaskan bahawa sama ada AirAsia atau MAS, pengguna mahukan perkhidmatan terbaik, berkualiti, mesra pelanggan dan menghormati semua kelompok masyarakat. Jika keperluan ini dipenuhi, katanya, industri penerbangan negara bukan sahaja akan menjadi lebih kompetitif, tetapi lebih mencerminkan nilai Malaysia yang sebenar — progresif, inklusif dan “accommodative”.