Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia tidak boleh bertindak tergesa-gesa dalam memberi reaksi terhadap ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global, termasuk perubahan dasar yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Menurut Perdana Menteri, dasar antarabangsa sering berubah dalam tempoh singkat seperti yang berlaku pada Isnin apabila Trump menangguhkan pelaksanaan tarif ke atas Mexico dan Kanada hanya beberapa jam sebelum ia dijadualkan berkuat kuasa.
Sehubungan itu, kata Anwar, Malaysia melalui dasar yang disepakati ASEAN mengambil pendekatan bebas dan berkecuali, sekali gus membolehkan Malaysia menjalin hubungan dengan semua negara tanpa terikat kepada mana-mana blok kuasa.
“Malaysia kekal mengamalkan dasar ekonomi yang bebas dan berkecuali dengan membuka jaringan kepada semua negara.
“Kita akan terus melakukan perhubungan dengan AS sehingga kini walaupun negara kelihatan dekat dengan China, Brazil, Afrika Selatan, Kanada dan Mexico.
“Kita tidak boleh mengambil tindakan yang terlalu pantas kerana ada ketidaktentuan, bukan sahaja tentang geopolitik tetapi tentang beberapa keputusan yang diumumkan oleh Trump, umpamanya ada perubahan pagi semalam bila dia tidak akan teruskan dan memberi penangguhan pelaksanaan tarif untuk Kanada dan Mexico.
“Jadi dalam tempoh sebulan ini perubahan dasar dijangka mungkin berlaku atau dikekalkan. Apa yang kita lakukan selama ini adalah dasar ekonomi yang bebas dan berkecuali tetapi dalam masa sama secara agresif membuka jaringan dengan negara-negara lain.
“Apa yang kita lakukan selama ini adalah, pertama, dasar yang bebas dan berkecuali tetapi secara agresif membuka jaringan degan negara lain, umpamanya Afrika, melalui Afrika Selatan, Ethiopia, Amerika Latin, Brazil dan Peru selain membuka pendekatan lebih baik dengan China dan Rusia.
“Dengan jaringan ini, kita percaya boleh membantu dari sudut memberi ruang pelaburan baharu dan membuka peluang meningkatkan eksport ke negara lain,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai kedudukan Malaysia terhadap perang perdagangan dunia yang dicetuskan daripada pelaksanaan tarif oleh Trump dan sama ada Malaysia akan berdiri bersama negara China, Kanada dan Mexico, selain langkah kewangan dan fiskal untuk melindungi ekonomi dan rakyat Malaysia daripada kesan tarif berkenaan. –Astro Awani