Ahli Dewan Negeri Seri Serdang, Abbas Adzmi Salimmi menghargai komitmen kerajaan perpaduan dalam merombak struktur pendapatan atlet sukan yang menyertai Program Podium dibawah Kementerian Belia dan Sukan. Beliau melihat inisiatif kerajaan yang mengubah pendapatan berbentuk elaun kepada bergaji tetap dengan kadar yang minimum sebagai satu jaminan kerajaan perpaduan dalam mengiktiraf peranan dan kerjaya atlet sukan dalam pembangunan negara. Abbas menegaskan, seorang atlet juga memerlukan pendapatan yang tetap dan selaras bagi menampung keperluang hidup diri dan keluarga, maka tindakan KBS itu amat dihargai dan disokong.
Sebelum ini KBS mengumumkan bayaran elaun bulanan atlet yang berada di bawah Program Podium ditukar kepada gaji dan akan dinaikkan dengan minimum asas sebanyak RM1,500 sebulan. Menterinya Hannah Yeoh berkata 307 atlet dan 86 atlet para yang berada di bawah program berkenaan sekali gus menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Beliau berkata mereka bakal menandatangani kontrak selama dua tahun bermula bulan ini.
Mengulas mengenai potongan gaji ke KWSP dan PERKESO, Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Negeri Selangor itu berkata usaha tersebut akan menjamin kelangsungan hidup para atlet setelah mereka tidak berkhidmat lagi kepada negara. Potongan itu semestinya berguna untuk melindungi atlet kita pada masa depan. Disamping itu, Abbas melihat pelaksanaan gaji tersebut akan melonjakkan semangat dan fokus atlet yang akan menghadapi temasya sukan besar dalam tahun ini dan mendatang. – SelangorToday