
Perubahan iklim kini semakin mengancam keterjaminan makanan Malaysia, dengan corak cuaca tidak menentu dan peningkatan suhu global menjejaskan sektor pertanian.
Tatkala pengeluaran makanan dalam negara berdepan risiko kian meningkat, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menegaskan Malaysia serta rantau ini kekal terdedah kepada ancaman perubahan iklim.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerjasama serantau diperlukan bagi menangani kemungkinan kekurangan bekalan makanan.
“Kita mempunyai stok beras yang mencukupi untuk sekurang-kurang enam bulan. Namun, kita tidak tahu apa akan berlaku akibat perubahan iklim. Oleh itu, keterjaminan makanan adalah penting.
“Kita perlu bekerjasama dengan negara lain di rantau ini untuk memastikan keterjaminan makanan kita. Pengeluaran padi kita sebelum ini ialah 71 peratus tetapi kini hanya 56 peratus.
“Kira-kira 20,000 hektar sawah telah ditukarkan kepada projek perumahan, manakala generasi muda enggan bekerja di sawah kerana pendapatan rendah,” katanya kepada Bernama di Phnom Penh.
Mohamad mengadakan lawatan dua hari ke negara ini pada akhir Februari lalu untuk mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya, Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Kemboja, Dith Tina.
Antara topik utama dibincangkan ialah keterjaminan makanan, import beras (terutama beras wangi), akuakultur, perikanan dan kerjasama dalam sektor pertanian.
Tahun lalu, eksport beras Kemboja mencatat jumlah 651,522 tan dengan lebih 100,000 tan metrik dihantar ke China, manakala negara ASEAN memperoleh hampir 130,000 tan metrik.
Kemboja mengeksport pelbagai jenis beras meliputi beras wangi, beras putih, beras ‘parboiled’ serta beras organik, termasuk jenis beras wangi panjang ‘Sen Kro Ob’ yang terkenal pada peringkat global.
Malaysia mengimport kira-kira 50,000 tan metrik beras wangi dari Kemboja, sebagai sebahagian daripada 30 peratus atau 700,000 tan metrik jumlah import beras yang diperlukan untuk memenuhi keperluan negara sebanyak hampir 2.5 juta tan metrik.
Cabaran geopolitik, dasar eksport tidak menentu dalam kalangan negara pengeluar beras, serta keadaan cuaca tidak stabil boleh mengganggu bekalan dalam pasaran antarabangsa, sekali gus memberi kesan kepada negara pengimport.
“Kita menghadapi masalah bekalan beras di Malaysia, tahun lalu, terutama apabila India menghentikan eksport beras putih ke negara lain kerana masalah dalaman mereka,” katanya.
India – pengeksport beras kedua terbesar di dunia selepas China – melarang sementara eksport beras bukan basmati pada 2023 bagi membendung inflasi tinggi dan kenaikan harga makanan domestik.

Bagaimanapun, Kerajaan India telah menarik balik larangan itu pada tahun lalu.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Malaysia dan Kemboja tidak menandatangani sebarang perjanjian ketika lawatannya, baru-baru ini.
Namun, beliau berkata, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan mendalam berhubung pengeluaran beras memandangkan Kemboja menghasilkan beras lima kali ganda lebih banyak berbanding Malaysia.
“Kemboja mempunyai banyak sawah dan menghasilkan beras berkualiti untuk dieksport. Mungkin kita boleh membeli lebih banyak pada masa depan jika perlu.
“Sektor perikanan mereka juga kukuh. Contohnya, ikan haruan terdapat dalam jumlah banyak di sini,” katanya.
Menurut Jabatan Kastam dan Eksais Am, perdagangan dua hala antara Malaysia dengan Kemboja mencecah AS$780 juta hingga November tahun lalu. -BERNAMA