SelangorToday

PERUNTUKAN BESAR,TANDA KOMITMEN TINGGI KERAJAAN NEGERI PADA PENDIDIKAN – ABBAS

Ahli Dewan Negeri Seri Serdang, Abbas Adzmi Salimmi menegaskan peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Perpaduan Selangor kepada sektor pendidikan dengan skala besar merupakan tanda komitmen tinggi kerajaan negeri dalam memberdayakan modal insan di Selangor. Abbas ketika mengulas pembentangan yang diadakan pada Jumaat di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam itu berkata, Menteri Besar Selangor merupakan satu-satunya Menteri Besar yang memikul portfolio pendidikan di Malaysia. Tanggungjawab yang diambil oleh Dato Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari itu merupakan satu gambaran jelas bahawa Selangor amat menekankan soal pembangunan pendidikan walaupun Pendidikan dibawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Dalam Belanjawan Selangor 2024, Kerajaan Selangor telah memperuntukan RM10 juta untuk Program Tuisyen Rakyat Selangor(PTRS), RM3 juta untuk hadiah kemasukan ke IPT bagi anak Selangor, peruntukan untuk pembudayaan sains dan inovasi Selangor sebanyak RM2 juta dan bantuan Sekolah Negeri Selangor berjumlah RM26.5 juta. Peruntukan yang semakin bertambah sejak tahun lalu itu bersandarkan kepada teras kedua belanjawan iaitu ‘Mengangkat Pendidikan Bestari, Menjamin Alam Lestari’.

Disamping itu, Abbas yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional menambah, peruntukan infrastuktur yang sentiasa mencukupi disediakan oleh kerajaan negeri bagi menjamin pengupayaan infra dan kemudahan di Selangor berkeadaan baik. Abbas juga mengucapkan tahniah kepada penjawat awam Selangor yang diberikan penghargaan oleh kerajaan negeri melalui pemberian bonus 2 bulan setengah  gaji. Abbas yakin belanjawan kali ini akan diluluskan dalam sidang kali ini. – SelangorToday

Exit mobile version