SelangorToday

PESERTA PROGRAM SELANGOR SARING DIJANGKA MENINGKAT

Kesedaran orang ramai untuk melakukan saringan kesihatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua meningkat apabila semua lapisan umur hadir pada program Selangor Saring, hari ini. Wakil rakyatnya Edry Faizal Eddy Yusof berkata beliau terkejut dengan kehadiran orang ramai yang dianggap luar jangka kerana penduduk sebelum ini seperti takut untuk melakukan saringan.

“Setakat sejam program bermula kita menerima hampir 200 orang. Sebelum ini waktu kita ajak ramai yang mengelak untuk datang tetapi hari ini jadi sebaliknya.

“Lebih mengejutkan saya ingat ramai orang tua tetapi pelbagai ada yang muda dan pelbagai peringkat umur. Ini membanggakan kerana tiada batas umur untuk mengetahui status kesihatan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Selangor Saring di Dewan Komuniti Kampung Batu 9 di sini. Edry Faizal berkata berdasarkan sambutan yang diterima hari ini beliau berharap program ini dapat diadakan sekali lagi di kawasan Dusun Tua.

“Kalau sejam dah 200 orang mungkin boleh cecah 600 orang pada hari ini. Mungkin ada yang tidak kesempatan, tak tahu macam mana dan saya rasa bagus jika diadakan lagi selain membantu golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat. Program hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan barah payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Exit mobile version