Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia membuat keputusan segera bagi menangani isu bebanan guru yang memikul tugas sebagai warden asrama. Melalui satu kenyataan media pada Isnin, JKPPH mengambil maklum adanya usaha awal ke arah proses penambahbaikan bebanan guru menjadi warden dengan wakil KPM sendiri turun melihat masalah sebenar dan mendapat maklumat daripada guru yang terlibat, malangnya sehingga hari ini KPM tidak berbuat sebarang keputusan dan tindakan untuk mengatasinya.
JKPPH juga mencadangkan supaya jawatan warden sepenuh masa diwujudkan dikalangan bukan guru dimana mereka sama taraf dengan jurulatih sepenuh masa, kaunselor berdaftar dan pembantu makmal. Manakala guru warden boleh dilantik daripada kalangan guru akedemik yang bertindak sebagai warden separuh masa yang memantau dan memimpin warden sepenuh masa dengan syarat jumlah waktu mengajar mereka dikurangkan. Jumlah warden dan jumlah pelajar asrama mestilah realistik dan mencukupi agar kemampuan seorang guru untuk menjaga pelajar lebih baik. Namun, tindakan awal yang KPM perlu ambil adalah dengan meningkatkan jumlah elaun guru warden ini bagi meringankan beban kewangan mereka memandangkan mereka berkhidmat lebih daripada guru biasa manakala elaun perumahan mereka juga ditarik kerana mereka menetap di rumah warden.
JKPPH dianggotai oleh Dr. Maszlee Malik selaku Pengerusi (ahli Parlimen Simpang Renggam), Datuk Dr. Hasan Bahrom (Tampin), Teo Nie Ching (Kulai), Nik Nazmi (Setiawangsa), Steven Sim (Bukit Mertajam), Natrah Ismail (Sekijang), Rusnah Aluai (Tangga Batu) dan V.Sivakumar (Batu Gajah) itu menyeru agar KPM bertindak segera memandangkan hujung minggu ini, proses kemasukan pelajar ke asrama akan berjalan. Oleh itu keputusan KPM akan melegakan guru-guru yang sering mengeluh dengan beban bukan mengajar sehingga tumpuan mereka mendidik terjejas.