
Beberapa bulan yang lalu, penulis telah menulis beberapa rencana berkaitan politik di Sabah. Dua daripadanya merupakan tulisan khususnya buat perkembangan dan persediaan Pakatan Harapan(PH) Sabah dalam memasuki fasa Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan diadakan pada bila-bila masa.
Tulisan itu mempunyai asasnya kerana ketika Barisan Nasional(BN), Parti Warisan Sabah(WARISAN) dan Gagasan Rakyat Sabah(GRS) sedang giat menyusun kekuatan strategi dan melaksanakan negosiasi secara terbuka bagi menemukan sekutu mereka, hanya PH Sabah yang dilihat senyap dan ketinggalan dalam menghadapi PRN itu.

Sememangnya benar apabila senyap tidak bererti tidak bersiap sedia, namun dalam politik, isu-isu yang diperkatakan oleh PH Sabah dalam media baik tentang isu rakyat mahupun persediaan mereka menghadapi PRN adalah sebagai simbolik keyakinan PH Sabah bertempur kali ini.
PH Sabah yang diibaratkan sebagai gadis idaman ramai jejaka apabila GRS, WARISAN dan BN mahu bersama PH Sabah sebagai sekutu politik era politik hari ini, seharusnya sudah bersedia dengan kekuatan asasnya sendiri agar mudah berperanan kelak. Dengan bermulanya asas kepimpinan yang jelas, PH Sabah akan dilihat mengukuh serta bersedia menjadi kerajaan negeri Sabah.
Memandangkan pertarungan di Sabah bukan kepalang, mereka yang mengetuai bala tentera untuk bertempur kesemuanya mempunyai nama yang besar dalam politik Malaysia dan Sabah. WARISAN meletakkan batang tubuh Shafie Apdal yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Persekutuan serta Ahli Parlimen Semporna sebagai calon Ketua Menteri Sabah PRN kali ini. Manakala UMNO-BN pula diketuai oleh tokoh politik Sabah yang sangat mengakar disana, Bung Mokhtar Radin selaku Ahli Parlimen Kinabatangan dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah.
Selain itu, bagi penyandang Ketua Menteri, Hajiji Noor merupakan bekas Menteri yang berpengalaman di Sabah serta berpengaruh besar. Justeru, PH Sabah akan dilihat kecil dan terkebelakang jika menamakan seorang ketuanya yang tidak dikenali, kurang menonjol dan tidak meletakkan semangat PH di hadapan. Maka sesuai seorang menteri persekutuan diturunkan disitu sebagai Pengerusi PH bagi memimpin pasukan yang bakal melaksanakan tugasnya selepas DUN terbubar.

Penulis menamakan Presiden UPKO Ewon Benedick sebagai Pengerusi PH memandangkan hanya beliau yang dari komponen PH Sabah diangkat sebagai menteri persekutuan, selain dua lagi nama lain adalah timbalan menteri daripada KEADILAN dan DAP.
Ketika proses pemilihan PH Sabah yang baharu dilaksanakan, memilih Ewon Benedick sebagai Pengerusinya. Ini merupakan satu langkah yang tepat dan sesuai untuk mengetengahkan PH sebagai pilihan kepada rakyat Sabah. Ewon yang memimpin agensi-agensi dibawah kementeriannya mampu menyerlahkan karisma dan wibawa beliau dimata rakyat Sabah.
PH Sabah seolah-olah telah berada di landasan yang tepat untuk memulakan pertempuran itu. Pun begitu, PH Sabah kembali hilang tumpuan dan mampu meleraikan kesepaduan yang ada apabila adanya isu yang mahu mengganggu-gugat PH Sabah.

Polemik bahawa Ewon bakal ditukar dengan pihak lain amat mencemaskan pemerhati dan penyokong PH Sabah. Keputusan yang telah dibuat secara demokrasi dan kesepakatan semua pihak, tidak disenangi oleh pihak tertentu. Sehingga khabar bahawa kerusi Pengerusi PH Sabah perlu ditukar kembali atas nama kuota tertentu telah mempersepsikan perebutan kuasa dan melunturkan keyakinan rakyat Sabah kepada PH.
Sepatutnya berbaki tempoh Pilihan Raya yang bakal diadakan kurang dari setahun ini, PH Sabah telah meninggalkan isu titik bengik yang boleh melemahkan kesatuan PH. Sebaliknya gabungan parti yang mampu menjadi king marker kepada kerajaan negeri yang ditubuhkan kelak mesti menumpukan usaha kepada usaha pengukuhan jenama PH dan komitmen yang jelas membantu rakyat beraspirasikan dasar persekutuan.
Dari satu timbangan, PH sudah pun ketinggalan apabila sentimen Sabah for Sabahan dimainkan oleh parti atau gabungan parti tempatan. Oleh itu, seharusnya PH Sabah melipat gandakan usaha untuk mengekalkan dan meningkatkan sokongan pengundi kepada PH melalui komitmen menyantuni rakyat meskipun gabungan ini berteraskan ‘Malaya’.

Adapun begitu, PH Sabah tidak wajar mengulangi kesilapan yang lalu apabila gagal mencapai kata sepakat dalam pelbagai isu teknikal ketika menghadapi PRN lalu. Kelemahan pimpinan terdahulu apabila tidak sepakat dalam pengunaan logo mereka sehingga terbahagi kepada dua logo yang berbeza-beza untuk mewakili PH Sabah. Sedangkan logo merupakan asas utama kemenangan parti politik apabila ia mula sebati dalam pengetahuan rakyat serta komitmen kesatuan bersama.
Jelas dapat dilihat, dari dimensi PH Sabah, peperangan menuju PRN Sabah akan datang bukanlah pesaing-pesaing mereka baik dari WARISAN, GRS mahupun BN. Sebaliknya peperangan terhadap keegoaan semua parti yang berada dalam PH Sabah. Hanya dengan ego yang semakin tinggi, keputusan yang tuntas melalui kesepakatan antara PH Sabah akan gagal dicapai. Lalu PH Sabah dilihat telah pun tewas sebelum berperang. Sedangkan sebagai pemerintah kerajaan persekutuan, banyak kelebihan yang mampu mendahulukan PH Sabah dalam perlumbaan ini.