Jualan barangan asas dengan harga serendah RM5 akan dijual selama tiga bulan di sembilan daerah secara serentak bermula 6 September ini.
Exco Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata lokasi program Jelajah Jualan Ehsan Rakyat Selangor akan dihebah menerusi media sosial Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
“Jualan bersubsidi ditanggung sepenuhnya Kerajaan Selangor ini bertujuan membantu meringankan beban rakyat dengan sebanyak RM10 juta tambahan disediakan bagi program ini.
“Kuantiti bagi setiap produk adalah 1,000 unit sebagai contoh 1,000 ekor ayam, ikan 1,000 ekor. Jumlah ini adalah permulaan jika permintaan meningkat kita akan tambah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Jelajah Jualan Ehsan yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dataran Kemerdekaan di sini.
Izham berkata antara produk yang dijual dengan harga RM5 ialah ayam, ikan, daging import, telur ayam gred B dan beras lima kilogram (kg).
“Kalau mahu bandingkan harga pasaran, ayam seekor dengan berat 1.8 kg berharga RM16, ikan pula (RM10), daging import (RM13.90), telur ayam gred B (RM12.90) dan beras lima kg RM13. Mana nak dapat harga macam ini? kita mampu tawarkan demi rakyat,” katanya.