SelangorToday

PH SELANGOR AGIH LEBIH RM3 JUTA KEPADA PETANI, NELAYAN, PENTERNAK – IR.IZHAM

Insentif berjumlah RM3.55 juta diagihkan kepada 2,000 petani, nelayan, penternak dan hiliran pertanian (IAT) oleh Kerajaan Selangor.

EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani berkata peruntukan tahunan itu diberikan menerusi Jawatankuasa Bantuan dan Projek-Projek Khas 2023.

“Tahun ini Kerajaan Negeri bersetuju untuk menaikkan jumlah insentif berbanding hanya kira-kira RM2 juta pada tahun lalu.

“Kita berharap insentif ini dapat membantu mereka melaksana tugas, sekali gus bantu mengekang kenaikan harga kos,” kata Ir Izham Hashim selepas menghadiri majlis penyerahan insentif sektor pertanian di Laman Niaga Kohijrah di sini, hari ini.

Antara penerima insentif tersebut adalah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan jumlah RM675,000; dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor sebanyak RM100,000.

Turut menerima insentif adalah Lembaga Pertubuhan Perladangan Selangor dengan jumlah RM350,000; bantuan gas silinder komposit bernilai RM200,000 kepada 1,333 penerima; serta penyediaan jeti terapung di tiga lokasi berjumlah RM300,000.

Pada November tahun lalu, Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri memperuntuk RM7.9 juta pada 2023 bagi pelaksanaan Program Bekalan Makanan Negeri Selangor.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari perbelanjaan itu bagi meningkatkan pendapatan usahawan tani dan amalan pertanian lestari menerusi lima dasar Pelan Transformasi Agro Selangor atau PeTA.

Exit mobile version