Seramai 36 usahawan di Hulu Selangor menerima bantuan alatan perniagaan menerusi program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan hari ini.
EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau berkata mereka menerima bantuan peralatan mesin membabitkan peruntukan sejumlah RM274,700.
“Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan yang besar menerusi program ini dalam memastikan golongan yang disasarkan menerima bantuan sewajarnya. Bagi tahun 2023 sahaja sebanyak 334 permohonan telah diluluskan di sembilan daerah.
“Justeru kita berharap agar semua penerima bantuan Blueprint pada hari ini mampu melakukan anjakan paradigma dalam meningkatkan pendapatan untuk menyara diri dan keluarga masing-masing ke arah kehidupan yang lebih selesa dan sejahtera,” katanya di Facebook.
Tambah Ganabatirau seramai 3,256 peserta menerima bantuan alatan perniagaan dengan peruntukan berjumlah RM13,598,420 menerusi program berkenaan sejak 2016 hingga Jun tahun ini bagi memastikan mereka mendapat bantuan sewajarnya.
Menerusi Belanjawan Selangor 2023, Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan RM2 juta bagi membantu individu berpendapatan bawah RM1,500 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000 sebulan di bawah program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan.
Penjaja, peniaga atau mereka yang bekerja sendiri di negeri ini dibantu untuk memulakan serta mengembangkan perniagaan termasuk menganjurkan kursus memeperkasa usahawan sekaligus meningkatkan taraf ekonomi sekali gus keluar daripada kemiskinan.
Bantuan berbentuk peralatan atau mesin juga diwujudkan khusus untuk membantu golongan dalam kalangan penjaja, peniaga atau yang bekerja sendiri di negeri ini.