SelangorToday

PH SELANGOR BERJAYA LULUSKAN DASAR JAMIN HAK KANAK-KANAK DI DNS

 Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini sebulat suara meluluskan usul Dasar Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Selangor dan Pelan Tindakan 2022-2025.

Usul berkenaan dibawa EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud hari ini dan dibahas tujuh Ahli Dewan Negeri (ADN).

Speaker Ng Suee Lim berkata Selangor menjadi negeri pertama yang membentangkan dasar untuk menjamin hak kanak-kanak sepanjang penggal ini.

Menurutnya, dasar tersebut akan diteliti oleh Kerajaan Negeri pada penggal akan datang atau dibawa ke peringkat persekutuan untuk dijadikan panduan.

“Tiada negeri lain yang bentang dasar kanak-kanak sepanjang lima tahun. Selangor teliti daripada semua aspek sosial, ekonomi, kebudayaan dan isu kanak-kanak pun kita tidak terlepas.

“Inilah kerajaan yang mesra rakyat, berketerampilan dan faham denyut nadi rakyat. Kita ucap tahniah kepada Kerajaan Negeri, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Siti Mariah,” katanya ditemui sejurus tamat sidang Dewan Negeri Selangor.

Terdahulu, Siti Mariah berkata dasar berkenaan adalah perancangan strategik yang memfokuskan 10 domain utama iaitu persediaan keibubapaan dan prakelahiran, kesihatan, perkembangan sosial dan komunikasi.

Tambahnya, ia termasuk pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak, kesejahteraan kekeluargaan, pendidikan (peringkat rendah dan menengah), peranan teknologi dalam perkembangan kanak-kanak, infrastruktur dan keselamatan, sosioekonomi dan penglibatan pemegang taruh.

“Melalui dasar ini, disertakan pelan tindakan strategik yang sedang dan akan dilakukan bagi mencapai matlamat utama digariskan dalam setiap domain utama.

“Melalui pelan tindakan ini, pembangunan program dan inisiatif berkaitan kanak-kanak dapat dilaksanakan secara strategik dan bersesuaian dengan latar belakang demografi dan psikografi kanak-kanak di Selangor,” katanya ketika membawa usul berkenaan.

Beliau turut berharap dasar itu memberi panduan jelas dan sistematik untuk pembangunan kanak-kanak yang sejahtera di negeri ini.

“Diharapkan dasar ini akan mengukuhkan proses perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh melalui hala tuju yang jelas.

“Selain pelaksanaan program dan inisiatif bersasar, penglibatan pemegang taruh yang pelbagai sekali gus memastikan segmen kanak-kanak menerima manfaat terbaik selaras tema dasar ini iaitu ‘Anak Selangor, Anak Kita’,” katanya.

Sidang DNS akan ditangguhkan hingga ke satu tarikh yang akan dimaklum kelak.

Exit mobile version