Isu penempatan setinggan yang membelenggu 249 keluarga di Kampung Dato’ Harun, PJS 1 di sini sejak 15 tahun lalu berjaya ditangani Kerajaan Negeri.
Dato’ Menteri Besar berkata keluarga terbabit yang terdiri daripada peneroka memperoleh kediaman menerusi Skim Smart Sewa hasil penyelesaian menang-menang bersama pemaju.
“Mereka diberi tawaran pemilikan rumah dan konsepnya adalah sewa milik. Ini adalah kaedah sewaan (kepada penerima) kemudian baru pemilikan.
“Isu paling penting di sini kita dapat selesaikan masalah satinggan yang tertunggak hampir 15 tahun. Baru sekarang kita dapat selesaikan hasil kerjasama pemaju terbabit,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Kita Selangor Penyayang peringkat daerah Petaling di Padang Permainan MBPJ, Desa Mentari 3 hari ini.
Kerajaan Negeri memperkenalkan skim sewa milik rumah untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah (B40) memiliki kediaman sendiri pada masa depan.
Inisiatif yang sebelum ini dikenali dengan nama Skim Smart Sewa Kemudian Beli (2STAY) dijenamakan semula sebagai Skim Sewa Milik Selangor.
Skim dua fasa itu meliputi Smart Sewa dengan tempoh sewa minimum dua hingga lima tahun dan tempoh pemilikan di bawah ‘Rent to Own’.
Penyewa yang membeli kediaman tersebut menerima 30 peratus bayaran sewa terkumpul dan dijadikan wang pendahuluan serta baki perlu dijelaskan secara ansuran.