SelangorToday

PH SELANGOR PERKENAL SKIM SEWA MILIK SELANGOR BANTU B40 MILIKI RUMAH 

Kerajaan Negeri memperkenalkan skim sewa milik rumah untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah (B40) memiliki kediaman sendiri pada masa depan.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata inisiatif yang sebelum ini dikenali dengan nama Skim Smart Sewa Kemudian Beli (2STAY) dijenamakan semula sebagai Skim Sewa Milik Selangor.

“Demi mencari penyelesaian bagi isu pembiayaan perumahan ini, Kerajaan Negeri telah mengadakan beberapa perbincangan bersama pihak bank dan institusi kewangan.

“Justeru, Kerajaan Negeri bersedia menawarkan 3,943 unit kontra yang akan diperoleh secara berperingkat bermula 2022 sehingga 2030 untuk dimasukkan ke dalam Skim Sewa Milik Selangor,” katanya.

Rodziah Ismail (belakang, tengah) bergambar bersama pembeli Rumah Selangorku sempena Majlis Penyerahan Kunci Rumah Selangorku

Beliau berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah bagi Rumah SelangorKu Seri Kenari, Saujana Perdana.

Rodziah berkata skim tersebut menawarkan kediaman dengan harga jualan tidak melebihi RM200,000 seunit adalah bukti Kerajaan Negeri sentiasa peduli rakyat.

“Saya percaya banyak lagi projek perumahan yang sedang dan akan dibangunkan oleh pemain industri khusus untuk menyediakan kediaman mampu milik di Selangor,” katanya.

Sebelum ini, Rodziah dilaporkan berkata sebanyak 3,000 unit Rumah Selangorku Idaman disediakan untuk Skim Sewa Milik Selangor bertujuan membantu rakyat yang belum berupaya membeli rumah memilikinya pada masa depan.

Pada 13 Julai, Dato’ Menteri Besar memaklumkan sebanyak 130,545 unit rumah mampu milik dibina Kerajaan Selangor bagi memastikan penduduk negeri ini memiliki kediaman selesa.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 78,132 rumah menerusi 31 projek dibina bagi Rumah Selangorku Idaman dan 52,413 rumah menerusi 45 projek bagi Rumah Selangorku Harapan.

Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan dibina agar rakyat Selangor dapat memiliki kediaman selesa selain boleh memanfaatkannya menerusi skim sewa milik.

Exit mobile version