SelangorToday

PH SELANGOR PERUNTUK RM1.3 JUTA JAYA PROJEK TANAMAN DI KUALA SELANGOR

Kerajaan Negeri menyalurkan insentif berjumlah RM1.3 juta bagi projek pembangunan tanaman, teknologi fertigasi dan hiliran pertanian (IAT) di daerah ini.

EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani berkata peruntukan itu disalurkan kepada enam individu yang mewakili 1,613 warga tani dan usahawan mengikut kelompok masing-masing.

Ir Izham Hashim menyampaikan cek cura kepada penerima insentif Projek Pembangunan Tanaman, Teknologi Fertigasi dan Hiliran Pertanian (IAT) 

“Nilai insentif berbeza mengikut kelompok. Peruntukan tanaman fertigasi mungkin lebih RM20,000 kerana memerlukan peralatan moden untuk pengairan.

“Jadi kita memanggil enam daripada mereka yang terlibat dalam projek tanaman buah-buahan, sayur-sayuran, padi, fertigasi, kelapa dan makanan proses untuk menerima insentif,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau ditemui selepas menyerahkan cek cura insentif berkenaan sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini semalam.

Dalam pada itu, Ir Izham berkata agihan insentif tersebut sentiasa berterusan bagi memperkasa golongan terbabit seterusnya meningkatkan kualiti hasil perusahaan masing-masing.

“Kita perlu perkasakan warga petani dan usahawan ini supaya mereka boleh memproses banyak produk berkualiti,” katanya.

Exit mobile version