Kerajaan Selangor menyalurkan peruntukan berjumlah RM2.04 juta bagi bantuan baik pulih sekolah sekitar Hulu Langat tahun ini. Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan kepada 77 sekolah di daerah terbabit membuktikan komitmen Kerajaan Negeri membantu memperkasa institusi pendidikan.
“Bantuan kali ini diberikan kepada sekolah agama rakyat, sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan di daerah ini, manakala sekolah tamil dan cina akan dilaksana pada lain masa. Kita memberi perhatian serius terhadap institusi pendidikan kerana percaya nasib generasi masa akan datang ditentukan oleh bidang ini,” katanya.
Beliau ditemui selepas penyerahan insentif Haji Muassasah kepada 24 bakal jemaah sekitar Hulu Langat dan bantuan persekolahan di Masjid Al-Azim, Pandan Indah di sini hari ini. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek, EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim serta EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni.