SelangorToday

PH SELANGOR SERU AMIRUDIN TERUS FOKUS BANTU RAKYAT DAN BANGUNKAN NEGERI SELANGOR

Pakatan Harapan Negeri Selangor melalui satu kenyataan hari ini menyeru agar Dato Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan pasukannya meneruskan kepimpinan sedia ada bagi memastikan kelangsungan membantu rakyat dapat berjalan seperti biasa.

Fokus yang menjadi keutamaan PH Selangor di dalam kerajaan negeri bersama-sama dengan Barisan Nasional perlu diteruskan bagi mengelakkan sebarang perancangan membangunkan Negeri termaju di Malaysia itu tidak terbantut.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan PH Selangor, Abbas Azmi serta dua penolongnya Halimey Abu Bakar dan Wong Siew Ki menyatakan kerajaan negeri yang terbentuk hari ini mendapatkan mandat yang jelas daripada rakyat Selangor melalui Pilihan Raya Negeri tahun lalu.

Malah kepimpinan Amirudin Shari mendapat perkenan dan nasihat Sultan Selangor bagi meneruskan pentadbirannya hingga akhir penggal. Ini membuktikan kestabilan politik yang dibina mampu menghasilkan pelbagai manfaat dan kemajuan buat rakyat dan negeri Selangor.

Justeru sebarang tindakan yang diambil oleh pimpinan PH baik diperingkat negeri mahupun pusat mestilah melihat kepada kepentingan negeri dan mengelakkan kepada kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.

Kenyataan ini dipercayai dikeluarkan setelah ura-ura yang semakin jelas menggambarkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz akan menyertai KEADILAN.Ura-ura itu semakin mengukuh apabila Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengakui bahawa adanya perbincangan awal terkait dengan isu tersebut.

Walau bagaimanapun, Anwar selaku Presiden KEADILAN menyatakan komitmennya bahawa proses itu mesti berjalan dengan tertib serta tidak mengganggu-gugat kesepaduan antara PH dan UMNO.

Disamping itu, PH Selangor turut melihat Rancangan Selangor 1 yang telah dilancarkan dua tahun yang lalu perlu dilihat sebagai pemangkin kepada kestabilan politik Selangor serta penerusan kepimpinan Amirudin. RS-1 yang sedang berjalan akan terjejas apabila sebarang proses yang mendahulukan kepentingan peribadi atau kelompok diutamakan. Sedangkan rakyat sedang menanti manfaat yang diperoleh melalui RS-1. – SelangorToday

Exit mobile version