
SHAH ALAM, 14 Jun 2025 – Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Selangor, Abbas Azmi menyifatkan kenyataan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung keyakinan beliau untuk merampas 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebagai “igauan siang hari” yang jauh dari realiti politik semasa.
Menurut Abbas, dakwaan Azmin itu dilihat lebih sebagai retorik politik dan tidak bersandarkan kepada fakta serta prestasi wakil-wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) di negeri tersebut.

“Kenyataan Datuk Seri Azmin Ali ini umpama mimpi Israel untuk menewaskan Iran — satu igauan yang mustahil dicapai. Kita minta beliau berpijak di bumi yang nyata dan menilai prestasi wakil rakyat PN yang sering kali menjadi sasaran rungutan dan aduan rakyat,” kata Abbas dalam satu kenyataan media hari ini.
“Bagi pihak Pakatan harapan, kita sering mendapat aduan dan rungutan daripada pengundi dan penduduk di kawasan yang diwakili oleh Perikatan Nasional ni berkenaan dengan prestasi mereka di kawasan masing masing.” katanya lagi.
Abbas turut menegaskan bahawa walaupun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu PH kehilangan 22 kerusi kepada PN, gelombang yang digelar “tsunami hijau” itu masih gagal menggugat pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
“Mereka gagal menawan kerajaan negeri walaupun ketika itu tsunami politik memihak kepada mereka. Apatah lagi sekarang, kita melihat sokongan kepada Kerajaan Perpaduan semakin meningkat di Selangor,” katanya lagi.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa PH mampu merampas semula semua kerusi yang kini diwakili oleh PN pada PRN atau PRU akan datang, termasuk DUN Hulu Kelang yang kini disandang oleh Azmin sendiri.
“Kerusi DUN Hulu Kelang akan menjadi tumpuan utama kita. Kita yakin dengan tsunami perpaduan yang bakal melanda, termasuk gelombang sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, PH akan kembali menguasai sepenuhnya kerusi-kerusi yang kini berada di tangan PN,” katanya.
Abbas dalam kenyataannya turut mengulangi komitmen PH untuk terus mendengar dan bertindak atas keluhan rakyat, khususnya di kawasan-kawasan yang kini diwakili oleh pembangkang.