SelangorToday

PH SELANGOR TIDAK HENTIKAN SKIM RUMAH SELANGORKU,TERUS BANTU RAKYAT

Kerajaan Negeri tetap meneruskan bantuan pembelian kediaman pertama menerusi skim Rumah Selangorku, kata EXCO Perumahan.

Rodziah Ismail berkata skim tersebut mendapat sambutan menggalakkan dengan 150,000 permohonan baharu setakat ini.

“Selangor tidak akan tutup permohonan Rumah Selangorku kerana kita mahu terus menyantuni rakyat untuk memiliki kediaman masing-masing.

“Objektif kita adalah satu keluarga satu kediaman. Kita mahu bantu mereka terutamanya yang pertama kali mahu beli rumah,” katanya ketika ditemui hari ini.

Exco Perumahan dan Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail bergambar bersama penerima ketika penyampaian sijil penghargaan kepada sukarelawan Karnival Mesra Selangor Laman Wawasan Ampang

Beliau mengulas laporan berhubung keputusan Putrajaya memansuhkan Skim Rumah Pertamaku (SRP) yang diperkenal sejak 2011 mulai 1 April lalu.

SRP yang diuruskan Cagamas Bhd bertujuan membantu isi rumah berpendapatan kasar bulanan di bawah RM10,000 untuk memiliki rumah pertama mereka.

Pada 11 Mac lalu, Rodziah berkata Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) merekodkan hampir 120,000 senarai menunggu bagi memiliki Rumah Selangorku.

Jumlah itu melebihi sekali ganda daripada sasaran Kerajaan Negeri yang merancang membina 60,000 unit rumah mampu milik itu menjelang 2025.

Exit mobile version