Pakatan Harapan Selangor selaku Kerajaan Negeri berusaha dengan sehabis baik untuk memperkasakan sektor pendidikan Tinggi serta menjaga kebajikan para mahasiswa Selangor. Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Amiruddin Shari menegaskan Selangor sentiasa meletakkan pendidikan sebagai agenda utama yang dibuktikan dengan perancangan dan pelaksanaan mantap. Contohnya, pada 8 Februari lepas, 117 orang telah diberi bantuan pinjaman tanpa faedah antara RM3,000 hingga RM7,000 seorang yang dimohon menerusi Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS).
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Selangor memaklumkan, untuk sektor pendidikan tinggi, terdapat 3 inisiatif khusus buat mahasiswa anak Selangor secara langsung iaitu Iltizam Mahasiswa Anak Selangor, Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) dan Data Internet Selangor. Inisiatif ini menyerlahkan keprihatinan kerajaan PH Selangor kepada kebajikan mahasiswa serta pembangunan sektor pendidikan tinggi di Selangor.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua menambah, ketika kes COVID-19 menaik, mahasiswa dibekalkan bantuan bakul makanan berjumlah RM1.5 juta untuk di samping kemudahan pengangkutan pulang ke kampung ketika Aidilfitri. Malah Bantuan Yuran Asas Universiti (BAYU) turut memberi pelepasan yuran asas kepada para pelajar UNISEL dan KUIS pada tahun 2021. Selangor mengambil berat kebajikan para mahasiswa yang merupakan pewaris kepimpinan negara. Segala inisiatif dan kebajikan yang diusahakan adalah demi generasi akan datang.