Kerajaan Pakatan Harapan Selangor memaklumkan bahawa kerajaan negeri membangunkan Pra-sekolah khas melalui Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) dan Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS). Berdasarkan satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, penubuhan pra-sekolah tersebut merupakan inisiatif pertama yang dilakukan oleh kerajaan negeri yang berada di Malaysia. Selain itu, institusi yang dinamakan Prasekolah Khas ANIS ini dibangunkan bertujuan untuk menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan bagi murid-murid berkeperluan khas serta membina penanda aras kepada pengusaha tadika di Selangor dalam menyediakan fasiliti pendidikan bagi murid berkeperluan khas.
Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, pra-sekolah tersebut dibuka untuk murid berumur 5 dan 6 tahun. Tambah Dr. Siti Mariah, ia akan memfokuskan murid dengan kategori masalah pembelajaran termasuk Austisme, Sindrom Down, Attention Deficits Hyperactive Disorder (ADHD) dan Global Development Delay (GDD). Antara syarat kelayakan yang ditetapkan untuk memohon adalah, warganegara Malaysia, Ibu atau bapa atau penjaga lahir di Selangor atau menetap di Selangor minimum 10 tahun. Pemohon daripada kalangan golongan B40 dan M40 serta murid pernah mengikuti Program Intervensi Awal selama minimum setahun.
Naib Presiden AMANAH itu menjelaskan, murid akan mengikuti kelas intervensi selama 4 hari dalam seminggu. Manakala sehari, murid akan berada dalam kelas selama 4 jam. Pada akhir sesi pembelajaran setiap hari, murid akan dibekalkan dengan laporan komprehensif meliputi perkembangan dan prestasi sepanjang menjalani intervensi. Akhirnya Dr. Siti Mariah yang juga ADN Seri Serdang menjemput ibubapa yang berminat untuk menghadari prasaringan kemasukan ke Prasekolah Khas ANIS di Karnival Pusat ANIS yang akan diadakan pada 6 ogos 2022 di Pra-Sekolah Pusat Anis, Shah Alam. – Selangor Today