SelangorToday

Pidato Hasbie: Pemuda AMANAH Terajui Jihad Politik Ilmu dan Akhlak

SEMENYIH, 25 Okt – Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Senator Hasbie Muda menyeru seluruh anggota Pemuda AMANAH agar tampil sebagai duta generasi baharu yang membawa panji perubahan, membina masyarakat berilmu dan beradab, serta memperkukuh budaya tarbiyah dan disiplin organisasi.

Dalam Pidato Ketua Pemuda AMANAH Nasional 2025 di Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional hari ini, Hasbie menegaskan bahawa perjuangan anak muda dalam politik bukan sekadar menambah ahli atau meraih undi, tetapi membentuk keperibadian dan melahirkan pemimpin masa depan.

“Kita bukan hanya mahu memenangi undi, tetapi mahu memenangi kepercayaan. Kita bukan hanya mahu memimpin hari ini, tetapi mahu melahirkan pemimpin untuk esok,” tegas beliau.

Beliau turut menekankan keperluan menguasai media digital dan komunikasi massa agar wacana progresif AMANAH dapat menembusi setiap ruang kehidupan anak muda.

“Kita mesti memperkuat penguasaan media digital supaya suara progresif ini menembusi setiap rumah dan hati anak muda,” katanya.

Dalam pidatonya, Hasbie turut menggariskan bahawa perjuangan Pemuda AMANAH ialah jihad politik yang berteraskan nilai ilmu, akhlak dan kebenaran.

“Kita bukan generasi yang mewarisi parti semata-mata, tetapi generasi yang menyambung misi Rasulullah SAW dalam memakmurkan bumi dengan rahmat dan keadilan. Inilah jihad politik yang menuntut kesabaran, kebijaksanaan dan keikhlasan,” ujar beliau.

Hasbie turut mengajak seluruh perwakilan keluar dari konvensyen dengan semangat baharu — bukan sekadar membawa resolusi, tetapi membawa tekad memperkukuh peranan Pemuda AMANAH sebagai peneraju generasi pembaharuan Malaysia.

“Tekad bahawa Islam yang kita perjuangkan bukan untuk menakutkan, tetapi untuk menyatukan. Tekad bahawa perjuangan ini akan terus menyala walau apa cabaran mendatang,” katanya.

Beliau turut berdoa agar Allah SWT terus membimbing langkah perjuangan Pemuda AMANAH dalam menegakkan kebenaran serta membina Malaysia yang adil, berakhlak dan sejahtera.

Exit mobile version