Dewan Rakyat – Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof mencadangkan kepada kerajaan supaya meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang jelas ketika ini mempunyai kelemahannya yang tersendiri. Ketika berucap membawa usul menjunjung kasih Titah Diraja Selasa lalu, beliau menyambut baik Titah Tuanku yang mahukan kerajaan meningkatkan kecekapan dan prinsip kerja berintegriti. Tambah Hj Azli, saranan tersebut seiring dengan aspirasi yang dibawa oleh Perdana Menteri ke-10, Anwar Ibrahim dalam menjadikan Malaysia sebagai negara yang bertatakelola baik.
Namun Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu menegaskan, pindaan-pindaan tertentu khususnya pada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 harus menjadi keuatamaan kerajaan kerana ia mempunyai kelompongan yang pastinya membantutkan usaha pembanterasan rasuah di Malaysia. Katanya, pindaan berkaitan perlindungan kepada pemberi maklumat seperti Seksyen 4, Seksyen 6(1), Seksyen 7, Seksyen 8(1) &4 dan Seksyen 11 bagi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dilakukan bagi mengelakkan daripada isu pemberi maklumat boleh disalahgunakan oleh pihak berkepentingan.
Jelas Ketua AMANAH Kawasan Shah Alam itu, pindaaan yang dilaksanakan dengan kadar segera akan membentuk mekanisma kawalan terhadap isu integriti dan sebarang ketirisan yang merugikan negara boleh disekat diperingkat awal lagi. Ini akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara. – SelangorToday