Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Senator Hasbie Muda menggesa kerajaan untuk memastikan Pindaan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti(AUKU) yang dilakukan mestilah mampu merungkai ketakutan mahasiswa. Kata Hasbie, pindaan Akta tersebut pada tahun 1974 yang dilihat lebih ketat kepada pergerakan mahasiswa di Malaysia telah menjadikan AUKU sebagai satu akta yang mencengkam perkembangan dan idealisme mahasiswa. Meskipun Hasbie bersetuju bahawa akta ini penting untuk melancarkan sebarang urus tadbir universiti, namun lebih utama lagi akta ini mesti mampu menjadi pusat pengembangan ilmu serta medan kebangkitan rakyat yang dipacu oleh kesedaran mahasiswa. 60 tahun yang lalu, mahasiswa merupakan nadi perjuangan rakyat serta jurubicara ummah. Namun ia terencat setelah AUKU diperketatkan.
Hasbie berkata ketika membahaskan Rang Undang-Undang AUKU(Pindaan)2024 di Dewan Negara semalam. Beliau tidak menolak keperluan aspek pengawalan kepada mahasiswa untuk bergerak, tetapi ia tidak juga perlu mengizinkan sebarang elemen menakutkan mahasiswa termasuk pekerja universiti. Memetik pengalaman beliau selaku penulis buku ‘mahasiswa bangkit’ 10 tahun lalu, Hasbie dihalang untuk menganjurkan program bedah buku meskipun jumlah mahasiswanya tidak ramai serta ia diadakan di luar kawasan universiti. Hasbie juga mahu kerajaan memberi jaminan bahawa amalan keterbukaan kepada mahasiswa hendaklah diterjemahkan dalam Malaysia MADANI.
Pengerusi AMANAH Terengganu itu turut memohon kepada kerajaan untuk memastikan pada pindaan akan datang, istilah pelajar yang dirujuk kepada mahasiswa dalam akta tersebut hendaklah dipinda dengan menggunakan istilah mahasiswa itu sendiri. Ini bagi memastikan kerajaan benar-benar menganggap mahasiswa sebagai pelajar universiti dan bukannya setaraf pelajar sekolah menengah. Hasbie menyatakan kerisauannya terhadap masyarakat apabila universiti sudah tidak dipandang tinggi dan penting lagi menyebabkan bilangan calon lepasan SPM menyambung pengajian ke universiti semakin berkurang. Maka wajar pindaan akta ini mengangkat kedudukan universiti agar masyarakat kembali menjadikan universiti sebagai institusi penting masyarakat. – SelangorToday