 
                PUTRAJAYA – Bermula hari ini, sistem kesihatan negara melakar sejarah baharu apabila Akta Perubatan (Pindaan) 2024 [Akta A1729] dan Peraturan-Peraturan Perubatan (Pindaan) 2025 secara rasmi mula dikuatkuasakan, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Penguatkuasaan perundangan baharu ini merupakan langkah penting dalam mereformasi struktur kepakaran perubatan di Malaysia, khususnya berkaitan pengiktirafan dan pendaftaran pakar dari laluan Parallel Pathway dan latihan kepakaran tempatan.
Antara teras utama pindaan ini ialah:
✅ Penyelarasan dan penambahbaikan proses pengiktirafan serta pendaftaran pakar secara adil dan telus;
✅ Penilaian berdasarkan kompetensi, bukan semata-mata kelayakan formal;
✅ Penstrukturan semula Majlis Perubatan Malaysia (MPM) agar lebih inklusif dan mewakili pelbagai pihak;
✅ Laluan pendaftaran yang jelas dan sah bagi pakar untuk terus berkhidmat kepada rakyat;
✅ Akses lebih luas kepada rawatan pakar berkualiti tinggi di seluruh negara.

“Ini adalah satu langkah reformasi besar demi menjamin sistem kepakaran yang mampan serta memastikan rakyat mendapat akses kepada rawatan kesihatan yang terbaik,” kata Dr. Dzulkefly dalam kenyataan rasmi di media sosial beliau pagi ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam proses penyediaan dan pelaksanaan pindaan ini, termasuk:
- Academy of Medicine of Malaysia (AMM)
- Malaysian Association for Thoracic & Cardiovascular Surgery (MATCVS)
- Malaysian Medical Association (MMA)
- Malaysian Medical Council (MMC)
- Institusi latihan perubatan, pakar perundangan, serta pembuat dasar
Khususnya, beliau menzahirkan penghargaan kepada para doktor pakar dan pengamal perubatan yang selama ini tertangguh pendaftarannya, sambil menyifatkan kesabaran dan profesionalisme mereka sebagai teras kejayaan reformasi ini.
Penguatkuasaan pindaan akta ini dijangka membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh sistem kesihatan nasional, seiring aspirasi kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan perubatan berkualiti, menyeluruh dan saksama kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Insya-Allah, for a better Malaysian healthcare system,” tambah beliau.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            