PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim akan membawa usul khas di Dewan Rakyat hari ini bagi mengutuk tindakan Amerika Syarikat (AS) yang didakwa menyokong serangan Israel terhadap Iran.
Beliau menegaskan bahawa tindakan tersebut merupakan satu bentuk kezaliman serta pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berulang dan tidak boleh dibiarkan tanpa kecaman tegas daripada masyarakat antarabangsa.
“Kezaliman Zionis Israel tidak pernah henti kerana mereka ini sudah hilang dan gelap sama sekali perasaan kemanusiaan,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin masyarakat tempatan di Kompleks Seri Perdana, di sini, semalam. Turut hadir isteri beliau, Wan Azizah Wan Ismail.
Perdana Menteri turut merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Iran susulan pemergian Pemimpin Agung negara itu, Ali Khamenei, yang dilaporkan terkorban dalam serangan berkenaan.
“Bagi pihak seluruh rakyat Malaysia, kita mengucapkan inna lillahi wa inna ilaihi raji’un atas pemergian Imam Khamenei dan keluarga kerana menjadi mangsa kezaliman Zionis Israel,” katanya.
Agensi berita antarabangsa sebelum ini melaporkan bahawa Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu lalu, dengan beberapa letupan dilaporkan berlaku di ibu negara, Tehran, serta bandar lain termasuk Isfahan, Qom, Karaj dan Kermanshah.
Kematian Khamenei disahkan pagi tadi apabila saluran penyiaran milik kerajaan, Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB), mengumumkan bahawa Pemimpin Agung Iran itu telah syahid, sekali gus mengesahkan spekulasi yang tersebar sejak awal pagi semalam.

