SelangorToday

PM ANWAR BERI AMARAN KEPADA KETUA JABATAN IZIN KEGIATAN RASUAH

Perdana Menteri akan mengesyorkan mana-mana ketua jabatan perkhidmatan awam yang masih mengizinkan kesalahan rasuah berlaku di bawah seliaan masing-masing, akan disekat daripada menerima kenaikan pangkat atau imbuhan gaji.

Tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah mustahil isu rasuah dan penyelewengan yang berlaku di dalam jabatan atau kementerian tidak diketahui oleh ketua mereka.

“Dalam keputusan mengenai penyelarasan gaji, kita tetapkan ketua jabatan atau ketua-ketua unit tidak akan diberikan kenaikan pangkat sekiranya diketahui di bawahnya sistem itu bobrok dan tidak diizinkan dilaporkan terus,” katanya semasa berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri, di sini pada Isnin.

Menurutnya, dengan tindakan tersebut, isu salah guna kuasa dan penyelewengan dapat dibanteras di peringkat bawahan tanpa mengharapkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata.

Jadi tanggungjawab itu bukan sahaja kepada SPRM tetapi ketua jabatan dan unit,” jelasnya.

“Jadi tanggungjawab itu bukan sahaja kepada SPRM tetapi ketua jabatan dan unit,” jelasnya.

Ujar Anwar, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz diminta akan menentukan kaedah dan ketetapan berhubung perkara itu pada minggu hadapan.

“Saya mahu keputusan tetap. Minggu depan saya nak ada ketetapan. Ketua jabatan mesti lapor (jika ada salah laku rasuah dan penyelewengan),” jelas beliau.

Tambahnya, beliau mengimpikan Malaysia akan menjadi sebuah negara yang benar-benar bersih daripada rasuah dan penyelewengan.

“Saya lihat laporan terkini Ketua Audit Negara itu mungkin secara relatifnya lebih baik berbanding tahun lalu tetapi kita tak boleh sedikit lebih baik.

“Kita mesti melakukan perubahan mendadak yang boleh menyelamatkan negara kita.

“Saya mahu Malaysia terkenal sebagai negara bersih atau paling minimum rasuah, tidak seperti mana ada sekarang,” katanya.

Anwar berkata, mana-mana ketua jabatan yang tidak mahu dan tidak mampu menggalas tanggungjawab tersebut perlu memaklumkan kepada Wan Ahmad Dahlan.

“Boleh pilih untuk tidak mahu jadi ketua jabatan, sila maklum kepada KPPA.

“Tetapi kerana tanggungjawab ada seperti saya, maki lah berbakul pun, kerja mesti dijalankan setelah dirunding,” katanya. -Sinar Harian

Exit mobile version