
MELAKA, 12 Jun 2025 — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas keras golongan yang memperalatkan sentimen “selamatkan Melayu” untuk kepentingan politik sempit dan merebut kuasa, sedangkan ketika mereka sendiri berkuasa dahulu, mereka gagal membawa perubahan dan hanya sibuk mengaut kekayaan.
Dalam satu ucapan lantang di Melaka, Anwar mempersoalkan keikhlasan mereka yang kononnya ingin “menyelamatkan Melayu”, namun tidak menunjukkan sebarang hasil ketika memegang tampuk kuasa.
“Selamatkan Melayu, selamat mana? Selamat dengan ucapan, selamat dengan maki hamun orang, selamat dengan hanya nak rebut kuasa. Masa kamu ada kuasa, mengapa tidak buat?” soal beliau.
Perdana Menteri turut menempelak tindakan segelintir pemimpin terdahulu yang menurutnya hanya tahu menabur fitnah, memperalatkan agama dan bangsa, serta menyemai kebencian di kalangan rakyat.
“Jenis perangai pemfitnah, kadang guna tanaman Islam, kadang tanaman Melayu… kerja dia hanya hasut. Islam terancam, Melayu habis, harta Melayu dikaut oleh Cina — ini taktik lama,” katanya, sambil menegaskan dunia dan negara tidak akan selamat dengan hasutan dan kebencian.

Anwar turut menegaskan bahawa kejayaan sebenar dalam membina bangsa dan negara bukanlah melalui retorik perkauman, sebaliknya menerusi kekuatan ekonomi, perpaduan rakyat, serta kemahiran dan kepintaran anak bangsa.
“Nak selamatkan Melayu dan negara bukan dengan cara menghina dan mencaci, tapi dengan kekuatan ekonomi kita, perpaduan kita, dan kepintaran yang Allah berikan untuk kita tingkatkan darjat,” tegas beliau.
Beliau turut menyeru generasi muda untuk celik maklumat dan bertanggungjawab terhadap setiap kenyataan serta kandungan yang disebarkan, termasuk di media sosial.
“Setiap TikTok kita, setiap berita yang kita sampaikan, kita bertanggungjawab juga kepada Allah. Negara ini perlu diselamatkan dengan ketekunan, sikap baik dan keperibadian yang mulia,” katanya.
Anwar mengakhiri ucapannya dengan menyeru kepada seluruh rakyat agar terus fokus membina masa depan negara berteraskan nilai-nilai madani dan menjauhi politik kebencian yang tidak membawa manfaat kepada sesiapa.