SelangorToday

PM ANWAR IBRAHIM MUSLIM KE-15 BERPENGARUH DI DUNIA BAGI EDISI 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menduduki tempat ke-15 sebagai individu Islam paling berpengaruh di dunia dalam senarai The World’s 500 Most Influential Muslims edisi 2025 yang diterbitkan oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre (RISSC).

Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming melalui platform X hari ini. Beliau mengucapkan tahniah kepada Anwar atas pencapaian tersebut yang menunjukkan peningkatan dari tempat ke-17 tahun lalu.

“Kejayaan ini menunjukkan teladan ketokohan dan kepimpinan yang inklusif untuk masyarakat berbilang kaum,” ujarnya.

Dalam penerbitan itu, Anwar merupakan antara 50 individu terkemuka dalam kalangan muslim di dunia yang mana Raja Jordan Raja Abdullah II Al-Hussein menduduki tempat pertama diikuti oleh Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul-Aziz Al-Saud (kelima) dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto (ke-18).

RISSC juga menyenaraikan Anwar di tempat kesembilan dalam kategori pemimpin dan ahli politik Islam berpengaruh mengatasi Prabowo (ke-10) dan Presiden Mesir Abdel Fattah Saeed Al-Sisi (ke-11).

Penilaian itu dibuat berdasarkan pengaruh individu dalam mengubah budaya, ideologi, kewangan, politik dan aspek lain dalam komuniti Islam serta peringkat antarabangsa.

Pengenalan ringkas mengenai Anwar dalam penerbitan tersebut menekankan sokongannya yang lantang terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam menghadapi penindasan Israel.

“Ibrahim (Anwar) telah menjadi penyokong kuat hak Palestin menentang pendudukan. Pertemuan beliau dengan pegawai Hamas (termasuk Allahyarham Ismail Haniyeh) mendapat kritikan dari Amerika Syarikat.

“Siaran media sosialnya yang menyampaikan ucapan takziah selepas kematian Ismail Haniyeh telah dihapuskan, yang mendorong beliau untuk berkata: ‘Biar ini menjadi mesej yang jelas dan tidak berbelah bahagi kepada Meta: hentikan sikap pengecut ini dan berhenti bertindak sebagai instrumen rejim Zionis Israel yang menindas’,” menurut laporan. – Berita RTM

Exit mobile version