Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tekad untuk mencari kebenaran dalam isu berkaitan ketirisan dana negara membabitkan beberapa individu ternama.
Biarpun berdepan kritikan hebat atas tindakan terbabit, beliau menegaskan akan meneruskan siasatan dan meminta rakyat untuk menyokong usaha kerajaan berbuat demikian.
“Kita tingkatkan usaha dan ia bukan mudah. Hutang (negara) banyak, tetapi ada yang curi duit rakyat, curi, curi dan curi. Bila kita hendak ambil tindakan (ke atas golongan itu) rakyat marah.
“(Kata) perdana menteri kasar sangat. Bagi saya aneh, sepatutnya kamu sokong. Siasat ketua kampung senang, siasat cikgu sekolah lagi senang. Tetapi mahu siasat orang kaya, orang besar-besar curi duit ingat senang? Tak senang,” katanya.
Berucap dalam sambutan Pesta Ponggal di sini malam ini, Anwar menegaskan akan melindungi negara untuk memastikan tiada lagi pihak berterusan mencuri hak dan harta rakyat.
“Kita mahu menjaga negara ini, jangan bagi orang curi harta rakyat. Kita akan kejar penjahat, saya tidak peduli (we will go after the crooks, i dont care),” katanya lagi.
Pada 17 Januari, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengesahkan mengambil keterangan seorang anak bekas perdana menteri dipercayai berhubung perniagaannya pada akhir 1990-an. – SelangorKini