SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memanggil Menteri Besar, Ketua Menteri serta pemimpin utama parti politik minggu depan untuk mendengar taklimat kedudukan semasa ekonomi negara kesan konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri berkata, hasil taklimat disampaikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) itu nanti akan menentukan keperluan sama ada wajar sidang Parlimen dipanggil bagi meneliti serta membincangkan langkah seterusnya.
“Kita akan terus adakan mesyuarat MTEN dan MKN. Minggu depan saya akan panggil semua Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk memaklumkan (perkembangan) kepada semua negeri, tak kira (negeri ditadbir) parti kerajaan dan pembangkang.
“Saya rancang panggil juga pemimpin semua parti untuk berunding dan mendengar sendiri taklimat MKN dan MTEN serta langkah-langkah yang harus kita ambil bersama supaya kita dapat tangani isu ini.
“Kita bincang dulu dan (cadangan panggil) sidang khas Parlimen itu biar ada rancangan (untuk) kita mengatasi (masalah dihadapi), bila sudah ada rancangan, baru kita boleh bincang secara konkrit (dalam Parlimen),” katanya ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong di sini, hari ini. – Berita Harian

